‘Saya Bukan Boneka Mahathir’ – LGE Bidas Dakwaan

Lim Guan Eng berkata dakwaan itu beliau menjadi boneka kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berdasarkan laporan bahawa beberapa entiti termasuk Khazanah Nasional Berhad, yang sebelum ini di bawah Kementerian Kewangan, dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

“Malangnya, laporan akhbar tidak mendedahkan bahawa terdapat juga agensi-agensi yang juga baru dipindahkan ke Kementerian Kewangan seperti Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia yang menyelia semua hospital swasta dan Koridor Pembangunan Ekonomi.

“Satu-satunya yang membezakan adalah pemindahan Khazanah kepada Jabatan Perdana Menteri, terutama apabila Khazanah dipengerusikan oleh perdana menteri walaupun ketika di bawah BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata dakwaan bahawa beliau menjadi boneka kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kini muncul pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Lim berkata Khazanah diasaskan oleh Dr Mahathir dan Perdana Menteri mahu agensi itu diletakkan di bawah tanggungjawabnya.

“Berikutan keputusan oleh Pakatan Harapan bahawa kedudukan perdana menteri dan menteri kewangan perlu diasingkan untuk mengelakkan salahguna kuasa dan memastikan semak dan imbang, Mahathir setuju dan saya telah dilantik sebagai menteri kewangan,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya Mahathir mahu menjaga dan memainkan peranan yang lebih pro-aktif dalam Khazanah kerana ia ditubuhkan ketika beliau mula-mula menjadi perdana menteri pada tahun 1982.

“Janganlah kita jatuh dalam perangkap media massa kawalan BN dengan naratif palsu mereka bahawa kita adalah boneka Bersatu atau boneka DAP. Jika kita adalah boneka kita hanya boneka kepada rakyat,” katanya.

Lim berkata tuduhan “boneka” itu bukan perkara baru dan pada masa yang lain, Mahathir digambarkan sebagai boneka DAP.

‘Pembangkang lakukan pembohongan’

Beliau juga mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak menyebarkan “pembohongan” dengan mendakwa beliau mengancam untuk tidak membayar gaji penjawat awamsekiranya mereka tidak mengundi Pakatan Harapan (PH).

Ini berikutan kenyataan Lim di Tanjung Piai semalam di mana beliau berkata pengundi tidak sepatutnya membuat keputusan pada pilihan raya kecil itu berdasarkan kaum sebaliknya berdasarkan prestasi dan keupayaan untuk membayar gaji penjawat awam.

“Jelas sekali pembangkang mencari kemenangan dengan melakukan pembohongan dan penipuan.

“Sebaliknya saya telah menggesa pengundi menolak politik perkauman dan pelampau agama oleh pembangkang dan memberi tumpuan kepada parti politik mana yang mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik, dasar-dasar yang lebih baik dan faedah yang lebih baik kepada rakyat.

“Saya menegaskan bahawa PH adalah lebih baik daripada pembangkang dalam memerangi rasuah dan pengurusan ekonomi yang cekap,” katanya.

Sebaliknya, Lim berkata PAS, yang menyokong calon BN dalam pilihan raya kecil itu kini sedang berdepan masalah untuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri Kelantan.

“Marilah kita bersatu bersama-sama bukan sahaja untuk mengalahkan pembohongan pembangkang dan pelampau perkauman dan agama mereka tetapi juga bahaya ‘deep state’ seperti yang didedahkan oleh Setiausaha Agung PH, Saiffudin Abdullah,” katanya.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru, antara Wee Jeck Seng (MCA), Karmaine Sardini (Bersatu), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan), dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pada PRU14, Dr Mohd Farid Mohd Rafik dari Bersatu menang dengan majoriti 524 undi.

Kerusi itu dikosongkan selepas Mohd Farid yang juga timbalan menteri di JPM meninggal dunia September lalu akibat serangan jantung.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi politaik.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here