‘Polis Seksa Dan Paksa Kami Mengaku Anggota LTTE’ – Suspek

Kedua-dua tertuduh yang akan menceritakan pengalaman mereka kepada Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi ialah pengusaha kedai runcit B Subramaniam, 57, dan pengutip besi buruk A Kalaimughilan, 28.

Ini dilakukan di bawah Seksyen 131 Kanun Tatacara Jenayah selepas solat Jumaat.

Peguam S Selvam, yang memohon mahkamah mendengar keterangan anak guamnya berkata, Subramaniam memberitahu bahawa dirinya telah diseksa.

“Semasa tangkapan dan (tahanan) 21 hari kemudiannya, dia diseksa dan dipaksa mengaku ‘Saya anggota LTTE’,” katanya.

“Dia dikenakan pelbagai ugutan, termasuk bahawa dia akan dihumban ke penjara seumur hidup jika dia tidak berbuat demikian,” kata Selvam.

Lima daripada 12 suspek yang didakwa menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang tidak lagi beroperasi, mendakwa diri mereka diberi layanan buruk, diseksa dan diugut semasa penahanan mereka.

Ini menyaksikan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi merakamkan kenyataan daripada dua tertuduh itu dalam kamera hari ini. Wartawan tidak dibenarkan membuat liputan semasa prosiding mahkamah itu.

Keterangan dalam kamera bermakna hanya hakim, peguam dan saksi yang dibenarkan hadir semasa prosiding itu.

Anak lelaki Subramaniam S Ravindran dan menantunya R Thiviya pula mendakwa bahawa polis mengugut supaya dirinya mengakui penglibatannya dengan LTTE atau polis tidak akan melepaskan semua lima anak dan isterinya.

“Apabila kita jumpanya buat pertama kali lima hari selepas dia ditangkap pada 10 Oktober lalu, dia menangis, dan berkata mereka mengugutnya dan berkata bahawa lima anak lelaki dan isterinya juga sudah ditangkap dan sedang dipenjarakan.

“Mereka kata, ‘Jika kamu tidak mengaku kami akan mendakwa mereka seperti mana kami kenakan pertuduhan ke atas kamu.

“Mereka memanipulasinya supaya (mempercayai) bahawa seluruh keluarga (akan didakwa sebagai) keluarga pengganas,” katanya.

“Dia dalam tahanan dan diseksa secara mental. Kamu bayangkan orang yang ditangkap itu tidak tahu di mana dia berada, dan bilik itu gelap,” katanya.

Ravindran berkata bapanya “diberi tawaran” untuk menjalani hukuman penjara dua tahun tidak seperti suspek lain yang akan dimasukkan ke dalam penjara selama 15 tahun.

“(Mereka cuba) paksa dia untuk tandatangani borang (pengakuan), tetapi dia tidak mau,” katanya.

Sementara itu, peguam MV Yoges yang mewakili Kalaimughilan, berkata anak guamnya dikurung dalam bilik gelap berasingan dan dia tidak dapat berhubungan dengan orang lain.

Menurutnya, bilik kurungan itu tidak mematuhi peraturan-peraturan penjara di mana tahanan tidak disediakan dengan katil dan bantal. Tandasnya pula tersumbat dan penuh dengan nyamuk, tikus serta lipas.

“Anak guam saya mengalami kemalangan pada bulan April lalu dan terpaksa mendapatkan lapan jahitan di kepalanya. Dia mengalami sakit belakang dan dia tidak dapat berdiri dan duduk lama,” tambah Yoges.

Katanya, mahkamah perlu memeriksa dakwaan anak guamnya dan merakamkan kenyataan mereka.

“Pada dasarnya, mereka dihukum sebelum mereka terbukti bersalah, mereka diperlakukan seperti pengganas,” katanya.

Rakan sekerja Yoges, Raja Sekaran menambah bahawa polis seolah-olah cuba untuk melemahkan semangat mereka dan memaksa anak guamnya untuk mengaku bersalah dengan menyiksa mereka secara fizikal.

“Ada yang kata, mereka akan dikenakan dakwaan yang lebih ringan jika mengaku bersalah,” katanya.

Sementara itu, Yoges yang mewakili tiga lagi suspek yang didakwa di mahkamah berasingan di hadapan hakim Azman Amad, memohon kepada mahkamah untuk merakamkan kenyataan kliennya.

Mereka adalah guru R Sundram, 52, pengawal keselamatan M Pumugan, 26 dan penjaga stor S Thanagaraj, 26.

Yoges memberitahu mahkamah bahawa semua mereka diberi layanan buruk di penjara Sungai Buloh, dan juga dikurung dalam bilik yang gelap serta tidak disediakan dengan katil dan bantal.

Walau bagaimanapun, Azman memutuskan bahawa peguam perlu mengemukakan perkara tersebut pada tarikh sebutan kes yang dijadualkan pada 23 Disember.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi politaik.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here