‘Ideologi LTTE Berselindung Di Sebalik Organisasi Politik Seperti DAP’ – Pakar Kajian Strategik

Pakar anti keganasan menepis dakwaan kumpulan pemisah di Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sudah terkubur di Malaysia dengan mendedahkan penyebaran ideologi itu giat dijalankan.

Pakar Kajian Strategik dan Ancaman Keganasan Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Mohd Mizan Aslam (gambar) berkata, kematian pengasas LTTE pada 2009 ketika peperangan dengan tentera kerajaan Sri Lanka bukanlah penamat bagi perjuangan kumpulan pengganas bersenjata itu.

Mizan mendakwa penyebaran ideologi LTTE sedang dikembangkan di Malaysia dan ia berselindung di sebalik sekelompok individu yang berpengaruh dalam politik termasuk DAP.

“Ideologi ini sedang berkembang pesat dalam negara kita kerana dilindungi oleh sekelompok mereka yang berpengaruh dalam politik (DAP).

“Mereka menggunakan parti yang sah untuk menjalankan dakyah secara halus dan akhirnya nanti akan merosakkan parti DAP itu sendiri. Jika mereka ‘declare’ LTTE atau MCC (Malaysian Ceylon Congress) sejak dari awal akan disekat, maka mereka guna parti yang sah seperti DAP dan mungkin pertubuhan lain untuk meneruskan agenda LTTE.

“Mereka menggerakkan ideologi menggunakan strategi menjadikan organisasi politik atau organisasi sah sebagai jalan mudah dan selamat dalam mengembangkan ideologi mereka,” katanya kepada FMT.

Tambah beliau, selain DAP, terdapat NGO lain yang menggunakan nama agama dan kemanusiaan untuk mengembangkan ideologi politik dan ganas tanpa dikesan pihak berkuasa.

Ahli panel pakar deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri itu berkata, LTTE juga diiktiraf sebagai pertubuhan pengganas pada 1980 oleh 32 negara termasuk Agensi Perisikan Pusat (CIA), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Interpol.

Katanya, ideologi ekstrem LTTE terus berkembang tanpa sempadan negara, waktu dan parti politik. Kumpulan itu juga didakwa lebih merbahaya dari pengganas Al-Qaeda dan IS.

“LTTE adalah kumpulan pengganas yang paling bersistematik, mempunyai kumpulan askar sendiri, perisik terlatih dan skuad pengebom berani mati.

“LTTE dilatih oleh anasir luar terutama perisik antarabangsa. LTTE satu-satunya kumpulan pengganas yang membunuh pemimpin utama negara, mereka melakukan serangan bom berani mati dan tembakan tepat yang membunuh Rajiv Gandhi, perdana menteri India pada 1991 dan Ranasinghe Premadasa, perdana menteri Sri Lanka pada 1993.”

Mizan berkata LTTE juga merupakan kumpulan pengganas pertama yang melakukan modus operandi meletupkan diri menggunakan kanak-kanak dan wanita sebagai skuad berani mati dengan cara menculik dan mengindoktrinasi mereka dan menyerang Masjid Kottakundy dan menyebabkan kematian 147 jemaah pada 1990.

Tambahnya, sejarah juga menunjukkan LTTE merupakan kumpulan pengganas pertama melakukan pembunuhan beramai-ramai kerana didakwa mahu mewujudkan negara Tamil sepenuhnya.

“Perjuangan mereka mengorbankan sekurang-kurangnya 80,000 nyawa selama 26 tahun. Dengan tidak kurang 4,000 kematian akibat serangan bunuh diri.

“Kumpulan itu juga mendapat sumber kewangan melalui aktiviti penjualan senjata api, perkapalan dan sumbangan dana peribadi melalui LTTE diapora di seluruh dunia.

“Mereka juga mempunyai jaringan di seluruh dunia termasuklah di Amerika Syarikat,Kanada, Finland, Sweeden dan Malaysia.”

Tangkapan penyokong LTTE tepat

Di Malaysia pula kumpulan itu mula ditubuh atas nama MCC pada era 70-an.

“Tumpuan mereka di sekitar Klang, Sentul, Pulau Pinang dan Brickfield.

“Melakukan majlis memperingati pahlawan yang terkorban dalam perjuangan LTTE dikenali sebagai Maaveeran Thiran (sembah AK-47). Inilah antara insiden yang membawa kepada penangkapan mereka di Malaysia termasuk terbaru 7 individu semalam,” katanya.

Katanya, tindakan pihak berkuasa membuat tangkapan ke atas individu yang mendokong LTTE adalah tepat.

“Ancaman LTTE dan lain-lain kumpulan pengganas tidak boleh dipandang sepi, ancaman teroris merentasi agama, sempadan dan etnik.

“Tapi bagi masyarakat awam yang tidak faham mereka akan lihat perkara ini dipolitikkan, dipergunakan dan pihak polis atau keselamatan dianggap tidak menjalankan tugas secara profesional, inilah taktik yang dilakukan kumpulan ini sekarang,” katanya.

Semalam Bukit Aman mengesahkan penahanan tujuh individu termasuk dua Adun DAP atas dakwaan penglibatan LTTE. Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyifatkan penahanan itu adalah pembaziran masa dan sumber polis kerana LTTE tiada cawangan di Malaysia.

Kritikan juga dibuat pemimpin berbangsa India Pakatan Harapan. Dalam satu kenyataan bersama 16 pemimpin India dari DAP dan PKR, mereka menyifatkan penangkapan itu adalah “di luar pemahaman” dan menggesa pembebasan individu yang ditahan.

– Sumber FMT

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi politaik.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here