‘DAP Akan Bersungguh-Sungguh Pertahankan Sekolah Vernakular!’ – LGE

DAP menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan mencabar kesahihan sekolah vernakular di mahkamah bagi mengisytiharkan sekolah berkenaan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Lim Guan Eng berkata DAP akan mempertahankan bersungguh-sungguh hak perlembagaan untuk mewujudkan sekolah Cina dan Tamil, dengan membawa isu itu dalam mesyuarat kabinet esok.

“Selepas 62 tahun lalu sejak Merdeka pada tahun 1957, kewujudan sekolah Cina dan Tamil tidak pernah dipersoalkan dan menerima pembiayaan awam.

“Buat kali pertama dalam sejarah, tindakan undang-undang difailkan dengan menamakan Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan, memohon pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“DAP melihat ini sebagai satu perkembangan yang berbahaya yang bukan sahaja boleh mengancam kewujudan sekolah Tamil dan sekolah-sekolah Cina, tetapi juga menjejaskan perpaduan negara dan keharmonian masyarakat berbilang kaum,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

“Pada masa yang sama, DAP juga akan berusaha untuk campur tangan secara sah dalam saman itu bagi pihak sekolah vernakular dan telah mengarahkan Pengerusi Biro Undang-undang DAP dan Anggota Parlimen Bukit Glugor Ramkarpal Singh untuk menyediakan wakil perundangan,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan mesti mengarahkan peguam negara membantah perkara itu.

Saman berkenaan difailkan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz hari ini.

Beliau memohon satu pengisytiharan bahawa Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996, yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah Cina dan Tamil, tidak konsisten dengan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.

Saman itu bagi mencabar seksyen 17 Akta Pendidikan, yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28, atau mana-mana institusi pendidikan yang dikecualikan oleh menteri daripada subseksyen ini.

Turut disasarkan adalah seksyen 28 Akta yang sama, yang menyatakan bahawa tertakluk kepada peruntukan akta, menteri pendidikan boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, dan mengekalkan sekolah berkenaan.

Saman yang difailkan Khairul Azam itu menamakan menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Khairull Azam pada 23 Okt, memfailkan usul di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan sekolah vernakular.

Bagaimanapun, pada 11 Nov, Mahkamah tertinggi itu menolak permohonan Khairul Azam untuk meneruskan cabaran undang-undang berkenaan.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi politaik.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here